SEREMBAN – Dua beradik yang maut selepas terbabit nahas di Kilometer (KM) 257.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini semalam, baru bekerja sebagai pemandu kren sejak sebulan lalu di Taman Perindustrian Taman Tuanku Jaafar di sini.

Mangsa, Mohd. Husaini Amir Harun, 29, dan adiknya, Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25, masing-masing berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut isteri arwah Mohd. Hussaini, Nurfarha Shahdan, 32, suami dan adik iparnya berulang-alik dari rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong, Sela­ngor ke Seremban setiap hari untuk bekerja di sebuah kilang di sini.

“Lebih sebulan mereka bekerja di situ. Mereka berdua masuk kerja pada pukul 7 pagi. Suami saya merupakan anak keenam daripada tujuh beradik, manakala adik ipar pula anak bongsu.

“Mereka berdua memang sa­ngat rapat sehinggakan Amirul tinggal bersama kami di Puchong. Saya terkejut mengetahui mereka terlibat kemalangan, namun reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini semalam.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Kuala Terengganu selepas selesai bedah disiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, motosikal ditunggang dua beradik tersebut melanggar sebuah lori di lokasi kejadian pada pukul 7.05 pagi.

Mohd. Husaini merupakan penunggang motosikal, manakala adiknya pula pembonceng.