Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Anak bongsu, sepupu maut motosikal digilis lori

TANJUNG MALIM – Dua remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara berhampiran Kampung Kelawar, malam tadi.

Dalam kejadian terbabit, penunggang motosikal yang dikenali Mimi Nurwaheeda, 19, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Nur Nabila ,19, meninggal dunia di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan terbabit jam 11.18 malam tadi.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ketika kemalangan, kedua-dua mangsa menaiki Yamaha Lagenda 115Z dan dipercayai dalam perjalanan dari Ulu Bernam ke Slim River.

“Tiba di tempat kejadian, disyaki sebuah lori membuat pusingan U menyebabkan motosikal dinaiki oleh kedua-dua mangsa terbabit tidak dapat mengelak dan melanggar lori berkenaan.

“Akibatnya, penunggang motosikal yang beralamat di Hulu Bernam, Selangor digilis oleh lori terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hasni berkata, pembonceng motosikal yang beralamat Subang Jaya, Selangor pula meninggal dunia di Hospital Slim River.

Katanya lagi, polis sedang membuat siasatan lanjut bagi mengesan pemandu lori terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa mangsa tidak maafkan pemandu lori

Sementara itu, bapa kepada seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan itu tidak menyangka huluran salam anak bongsunya adalah sentuhan terakhir mereka.

Nor Kamar Hisham Omar, 48, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu, Mimi Nurwaheeda dan anak saudaranya, Nur Nabila Rosdi yang turut maut dalam nahas tersebut, ketika dua remaja terbabit datang bertemunya di sebuah kedai makan di Hulu Bernam.

“Dua kali adik (Mimi Nurwaheeda) dan Nabila datang ke kedai, malah setiap kali singgah itulah adik hulur tangan untuk bersalam dengan saya sebelum mereka beredar.

“Ketika itu, mereka hanya biasa-biasa sahaja. Saya ada bertanya, mereka mahu ke mana, tetapi mereka hanya diam sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Slim River di sini hari ini.

Menurut Nor Kamar Hisham, sebelum kejadian tersebut, Mimi Nurwaheeda ada menyatakan hasrat untuk membeli baju raya secara dalam talian.

“Dia beritahu mahu beli ‘online’ baju raya tapi saya tegurlah yang bajukan banyak, lagipun harganya mahal. Dia beritahu harganya dalam RM80.

“Tapi itulah, anak lagipun yang bongsu dan memang rapat dengan saya. Saya tidak sampai hati pun (bantah), cuma mulut saja cakap. Memang saya mahu pindahkan duit dalam akaun bank adik untuk dia beli, tapi nak buat macam mana, ini pula terjadi,” katanya.

Posting Komentar untuk "Anak bongsu, sepupu maut motosikal digilis lori"